【TERBAHARU】Inisiatif untuk Komuniti Perniagaan semasa Pandemik (Bab 2)
Demi membantu para peniaga dan komuniti korporat mengatasi kesukaran sewaktu pandemik Covid-19, SSM telah memperkenalkan tujuh (7) inisiatif yang berikut.
Inisiatif Pertama
SSM telah memperkenalkan ‘Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP)’ yang memberikan peluang kepada golongan B40 dan pelajar sepenuh masa (IPTA/IPTS, Kolej, Institut & Pusat Kemahiran) untuk mendaftar perniagaan secara percuma.
Inisiatif Kedua
Nilai ambang keterhutangan syarikat yang asalnya RM10,000, SSM telah menaikkannya menjadi RM50,000 secara kekal. Inisiatif ini dilancar pada 1 April 2021 adalah untuk mengurangkan bilangan penggulungan syarikat secara terpaksa.
Inisiatif Ketiga
SSM akan meneruskan pelaksanaan ‘Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P)’ yang menawarkan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan kepada golongan kelainan upaya secara percuma.
Inisiatif Keempat
SSM telah melanjutkan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Di samping itu, SSM BizTrust akan diberi secara automatik kepada entiti perniagaan yang daftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan mempunyai akaun di portal ezBiz Online.
Inisiatif Kelima
SSM akan mengiktiraf sekurang-kurangnya 20 mata Continuing Professional Education (CPE) setahun yang dikumpul melalui latihan dalam talian bagi tujuan pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Setiausaha Syarikat. Inisiatif ini telah memudahkan golongan intermediari korporat khususnya setiausaha syarikat dalam proses pengumpulan mata CPE. Ia juga telah membuka peluang jana pendapatan kepada industri yang menawarkan latihan digital.
Inisiatif Keenam
SSM sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang mengenai Syarikat (Pindaan) untuk syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah kewangan untuk:
(a) Meluaskan skop mekanisme penyelamat korporat
(b) Mengukuhkan peruntukan skim perkiraan atau kompromi
(c) Membolehkan syarikat mendapatkan pembiayaan bailout, selepas mereka telah memohon perintah pengurusan kehakiman atau telah mencadangkan skim perkiraan atau kompromi
Inisiatif Ketujuh
SSM telah menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2021 bagi memperkenalkan CRM kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan.
Pindaan ini bertujuan untuk memperluaskan skop pemakaian perundangan berhubung CRM yang boleh membantu permohonan rehabilitasi korporat agar PLT boleh terus beroperasi seperti biasa.
CORPSO berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh SSM ini dapat mengurangkan beban sektor korporat untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghantarkan e-mel ke enquiry@ssm.com.my.
Untuk membaca bab 1, klik sini.